Pages

Sunday, January 15, 2012

Kumeniti di tepian Realiti



Drama Aku Manusia


Allah swt berfirman dalam surah al-Fajr, ayat 15 dan16.

"(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"

"Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"

Manusia apabila diberi nikmat, mereka lupa nikmat itu akan disoal Allah swt. Sedikit sahaja daripada kita yang bersyukur.Manusia apabila ditimpa musibah, mereka mula menyalahkan Tuhan. Sedangkan ujian yang diberikan selalunya untuk memperingatkan manusia agar kembali kepada Tuhan.

Inilah antara skrip-skrip drama manusia yang hidup di dunia, termasuklah diri kita. Apabila diajak membuat kebaikan tunaikan solat berjemaah, kita berusrah, fokus belajar dan sebagainya, kita tangguhkan dengan perkara lain seperti bermain game dan hal hal dunia lain, apabila diajak infaqkan sebahagian harta kita beralasan takut takut menjadi papa, bila diajak pinjamkan sebahagian masa untuk Islam, kita kadang menolak dengan sengaja dan berkepentingan diri kerana takut habis masa kita digunakan, habis duit kita dan sebagainya. Kebenarannya, masa, duit, rezeki ialah pinjaman Allah swt. Bila bila sahaja masa hidup kita diberhentikan apabila roh kita ditarik daripada jasad kita. Kita tidak pernah tahu bilakah kita akan dikembalikan.




Realiti vs Hakikat Kehidupan

Realiti berasal perkataan latin yang berbunyi 'realis' yang bermaksud 'related to things'. Maka perkataan 'realiti' disama ertikan 'things' 'kebendaan' 'keduniaan' 'perkara yang hanya bersangkut dengan dunia'. Sebaliknya dalam bahasa arab 'realiti' ialah 'hakikat' berasal daripada perkataan 'haq' 'real' yang mana 'alHaq' iaitu 'The Real' ialah salah satu daripada nama Tuhan. Jadi apabila Islam menyebut tentang hakikat ia akan kebenaran sebuah kehidupan yang sentiasa berkaitan dengan Tuhan.


Dunia Tak Lebih Sekadar Alat & Tempat Persinggahan

Allah swt menjadikan dunia ini tempat persinggahan, tempat berlabuh, kebun untuk meladang tanaman, supaya disuatu masa kita dapat menuai hasilnya. Namun kadang-kadang kita terlupa. Kita berbuat dosa. Kita melengahkan solat. Kita takabbur pada rezeki Allah, kita riak pada orang lain seolah olah dunia ini aku yang punya. Sedangkan kalau nak dikira harta dan pangkatnya, hebat lagi harta dan pangkat firaun laknatullah. Namun kerana bongkaknya dia pada Allah swt, dia di azab.


Akhirat jualah Matlamat

Islam sekali kali tidak menghalang kita mencari habuan hidup di dunia, tetapi islam jelas melarang kita menjadikan dunia sebagai matlamat dan tujuan kita. Allah swt menyebut dalam surah Muhammad, ayat 12 "…orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum…". Sehebat mana pun kita mengejar dunia, kita hanya mendapat habuan yang Allah berikan juga kepada orang kafir dan binatang ternakan.

Visi dan destinasi kita sebagai seorang muslim jelas. Allah berfirman dalam surah alBaqarah, ayat 28.

"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)."

Kita dahulu pernah mati iaitu tiada dan tidak wujud sama sekali, kemudian Allah swt titipkan peluang bagi kita mengerti sebuah kehidupan, yang pasti dan perlu diingati, Hidup kita PASTI menempuh MATI. Destinasi kita sama ada Syurga atau Neraka. Soalnya sekarang, adakah kita rela masuk ke Neraka?

Neraka Bukan Pilihan

Serba sedikit cerita syurga dan neraka yang dinukilkan Allah swt dalam Surah alHajj, ayat 19-22.

"Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak"

"Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka."

"Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka."

"Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!"

Kita sedar neraka bukan lagi pilihan. Yang tinggal hanyalah syurga. Tidak mahukah kita mengejar nikmat syurga?


Belilah Syurga Allah swt

Syurga Allah swt ialah ganjaran buat orang beriman.

"Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera. " alHajj:23

Namun, harga syurga bukan percuma. Niat perlu sentiasa dijaga hanya ikhlas kepada Allah swt. Banyak amalan dan kerja kerja Islam yang perlu dibuat.

Perjuangan dalam membantu Islam merupakan taruhan membeli tempat di Syurga

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh…" (atTaubah:111)

"Ini adalah kehormatan(bagi mereka),dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar(disediakan)tempat kembali yang baik (iaitu)syurga 'Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka.Di dalamnya mereka bertelekan sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu). (Surah Sad:49)

Kita tahu kita tidak mampu menghadapi neraka, kita juga sedar bahawa kita masih tak layak untuk ke syurga. ikhlaskan niat kita dalam beramal. Perbaiki amalan fardhu dan perbanyakkan amalan sunnat sebagai seorang hamba kerdil di hadapan Tuhan. Membuat kerja kerja Islam dalam jemaah Islam juga merupakan peluang untuk kita merebut syurga Allah swt. Tinggalkan segala perkara dosa yang pernah kita lakukan, dan pohon ampun kepada Allah swt.

Hidup ceria-ceria selalu, sentiasa ingatkan Tuhan.

IbnuHashim
Cardiff
15 Januari 2012 / 20 Safar 1433 H

No comments:

Post a Comment