Pages

Saturday, October 31, 2009

Kepercayaan Kepada Tuhan

Selepas melalui Kursus Kenegaraan Biro Tatanegara, Rukun Negara yang lima itu terasa lebih bermakna. Sekadar menjadi penghias muka surat di belakang buku tulis itu bukanlah matlamat yang ingin dicapai. Menghayati Rukun yang lima itu menjadikan diri ini lebih menyayangi agama, negara, bangsa dan diri-sendiri.

Maka kami rakyat Malaysia akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan Kepada Tuhan

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan Undang-undang

Kesopanan Dan Kesusilaan

Kepercayaan Kepada Tuhan

Seorang guru berkata pada dirinya bahawa dia tidak percaya akan kewujudan Tuhan dan dia berasa sangat bertanggungjawab untuk mengajarkan kepercayaannya kepada orang lain. Pagi itu dia mengajar murid darjah satu.

‘Anak-anak nampak tak pen yang cikgu pegang ini?’ katanya kepada muridnya sambil memegang sebatang pen.

‘Nampak cikgu!’ jawab kanak-kanak

‘Pen ada ke tak ada?’ soalnya lagi

‘Ada cikgu!’ jawab murid-murid serentak. Mendengar jawapan itu, guru tersebut lantas menyorokkan pen itu ke dalam kocek seluarnya.

‘Sekarang nampak tak pen tadi, pen tadi ada ke tak ada?’ soal guru tersebut.

‘Tak nampak cikgu, pen dah tak ada cikgu!’

‘Pandai anak-anak, sekarang cuba kamu cari TUHAN, nampak tak?’ guru itu menyambung persoalan.

Maka riuh-rendahlah kelas pada pagi itu kerana semua murid . Semua sibuk mencari TUHAN di bawah meja, di belakang almari dan sebagainya.

‘Kami tak nampak TUHAN cikgu!’ kata murid-murid kepada guru mereka

‘Jadi TUHAN ada ke tak ada?’ tanya guru itu kepada mereka.

‘Tak ada cikgu!’ jawab mereka secara serentak. Guru itu tersenyum kerana dia sudah berjaya mengajarkan kepercayaannya kepada kanak-kanak itu. Tiba-tiba seorang murid yang nakal dan selalu membuat bising di dalam kelas berdiri di hadapan.

‘Kawan-kawan, awak semua nampak tak otak cikgu?’ tanya budak itu kepada rakan-rakannya.

‘Tak nampak!’ riuh-rendah jawapan yang kedengaran.

‘Kawan-kawan, cikgu ada otak tak?’ tanya budak itu lagi.

Tidaklah semua benda yang tidak kelihatan itu membawa maksud mereka tiada wujud sama sekali. Bagaimana dengan angin, bukankah kita tidak dapat melihat angin, tetapi kita tahu akan kewujudannya apabila ia meniup dedaun supaya melambai kepada kita. Bagaimana dengan nyawa, bukankah kita dapat melihat nyawa, tetapi jika tiada nyawa, sudah pasti kita sudah dipulangkan kepada tanah.

Walaupun apa agama yang dianuti anda, percaya akan kewujudan Tuhan merupakan Rukun sebagai anak Malaysia.

Kepercayaan Kepada Tuhan di dalam Islam

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan segala makhluk untuk bermohon sebarang hajat. Ia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada siapa pun yang serupa dengan-Nya’”

(terjemahan al-Ikhlas 112:1-4)


Terima kasih yang tidak terhingga buat ketua fasilitator, fasilitator, ketua jurulatih, jurulatih dan rakan-rakan di BTN

No comments:

Post a Comment